LOS ANGELES - Penyanyi Legenda pop wanita Amerika Syarikat (AS), Whitney Houston mati di dalam biliknya di tingkat empat Hotel Beverly Hilton di sini kelmarin.
Seorang pegawai polis, Leftenan
Mark Rosen berkata, Houston yang genap berumur 48 tahun kelmarin
diumumkan meninggalkan dunia pada pukul 3.55 petang waktu tempatan.
"Tidak ada sebarang petunjuk
jelas sebarang kejadian jenayah," kata Rosen merujuk sama ada penyanyi
itu mati kerana perbuatan jenayah.
Seorang kakitangan yang bekerja untuk Houston menyatakan punca kematian penyanyi tersebut tidak diketahui.
Menurut Rosen, polis menerima
panggilan kecemasan dari hotel itu tentang keadaan Houston yang
kelihatan tidak bernyawa pada pukul 3.43 petang.
Seorang anggota rombongannya membuat panggilan kecemasan 911 bagi memberitahu keadaan Houston.
Anggota-anggota paramedik yang
ditempatkan di hotel itu sebagai persediaan memberikan perkhidmatan
perubatan semasa satu parti Anugerah Grammy berlangsung telah gagal
untuk menyedarkan semula Houston, kata Rosen.
Penyanyi itu meninggal dunia di
hotel tempat mentornya, Clive Davis menganjurkan parti sebelum majlis
Grammy yang dihadiri sejumlah selebriti industri termasuk penyanyi
terkenal.
Houston meninggal dunia beberapa jam sebelum dia dijadualkan menghadiri parti itu.
Para tetamu yang merupakan selebriti terkenal pada parti itu terkejut dengan berita kematian Houston.
Sejumlah peminat berkumpul di
luar hotel tersebut untuk menyalakan lilin bagi memperingatinya manakala
helikopter berlegar-legar di atas hotel tersebut.
Menurut Guinness World Records, Houston merupakan penyanyi yang memenangi 415 anugerah sepanjang hidupnya.
Dia merupakan penyanyi, pelakon, penerbit dan bekas model.
Menurut seorang saksi, Houston
kelihatan berpeluh dan bau arak dan rokok serta kelihatan tidak kemas
sebelum dia meninggal dunia.
Tiga hari lalu, dia membuat persembahan pada parti sebelum Anugerah Grammy dengan penyanyi Kelly Price.
Houston yang dibesarkan di New Jersey menghadapi masalah ketagihan dadah.
Albumnya dijual lebih 170 juta
unit di seluruh dunia. Dia berkahwin pada 1992 dengan bekas penyanyi
blues, Bobby Brown sebelum mereka bercerai pada 2007.
Mereka mempunyai seorang anak perempuan, Bobbi Kristina.
Brown pernah ditahan di Atlanta pada 1993 kerana perlakuan tidak senonoh dan bergaduh pada 1995.
Dia juga ditangkap kerana
memandu dalam keadaan mabuk dan melakukan serangan pada lewat 2003.
Sementara itu, mayat Houston dibawa keluar menerusi pintu belakang hotel
berkenaan bagi mengelak jurugambar merakamkan gambar.
Seorang pegawai koroner, Kapten Brian Elias menyatakan, mayah Houston telah dihantar untuk dibedah siasat.
Menurut Elias, dia tidak boleh
mendedahkan maklumat siapa yang terlebih dahulu menemui mayat Houston
sebelum anggota paramedik dipanggil untuk memberikan bantuan kepadanya.
Pada Khamis lalu, akhbar Los
Angeles Times melaporkan, Hoston berkelakuan ganjil semasa dia
menghadiri latihan satu parti Anugerah Grammy.
Dia kelihatan tidak kemas,
pakaiannya tidak sesuai, rambutnya basah walaupun penyanyi tersebut
memberi senyuman kepada orang ramai.
Menurut laporan itu, tangan penyanyi berkenaan tergapai-gapai semasa dia bercakap.
No comments:
Post a Comment