Alkisah sebuah kenangan…
Semasa aku belajar mengayuh basikal,
ayahku akan jogging bersama sambil memegang kepala basikalku bimbangku
terjatuh. Masaku keretaku mati di tengah jalan di tengah malam, ayahku
cepat-cepat datang membantu menolak dan membaiki keretaku dan membawaku
pulang.
Ayahku seorang yang suka memberi nasihat. Ada satu nasihat terpenting yang aku ingat sehingga kini.
Keluargaku bukan kaya. Adik dan aku perlu bekerja sambilan untuk
mendapatkan duit poket buat belanja di sekolah. Kita bekerja
membersihkan rumput di rumah-rumah sekitar taman perumahan. Ayah aku
pula tukang mencari bisnis untuk adik dan aku. Ayah berjalan meminta
jiran-jiran di taman perumahan untuk mengambil adik dan aku untuk
membersihkan rumput di rumah mereka dengan sedikit upah.
Satu
hari, sudah menghampiri waktu Maghrib, adik dan aku masih membersihkan
rumput di rumah jiran terdekat. Rumputnya tinggi sebab itu masa yang
diambil lebih panjang. Dengan mesin memotong rumput yang tua, ia lebih
menyusahkan kerja adik dan aku. Hari semakin senja dan gelap, adik dan
aku cuba menyiapkan kerja dengan cepat.
Ketika aku menutup
mesin, ayahku menjerit padaku, “Kerja buat elok-elok. Sana tepi ada lagi
rumput yang masih panjang. Potong baik-baik.”
Adik dan aku
merungut. “Apalah ayah ini. Hari dah gelap. Dah nak Maghrib. Dua tiga
kerat rumput pun nak berkira. Bukannya makcik Ning nampak. Dahlah duit
yang dibayar sedikit. Mengapa ayah tak nak lepaskan kita?”
Ayahku menegur lagi. Adik dan aku menghidupkan mesin semula dengan hati
yang tidak rela lalu sekali lagi memotong rumput-rumput yang masih
tinggi.
Kiniku sudah bekerja dan akhirnya aku memahami prinsip
ayahku. Ketika memberikan servis, kerja kita menunjukkan akhlak kita.
Orang menilai kita melalui kerja kita. Jika kita hendak dilihat sebagai
seorang yang berintegriti, kita mesti memberikan kerja yang berkualiti.
Rumput panjang yang tertinggal itu bermaksud kerja yang ditugaskan masih
belum selesai.
Jiran-jiran lain menilai kerja adik dan aku
melalui rumput yang rapi dipotong. Kita mendapat lebih banyak bisnes
kerana sikap ayahku yang tidak bertolak-ansur pada adik dan aku dalam
membuat kerja sambil lewa. Setiap rumput di rumah jiran yang kami potong
ayahku pastikan ia dipotong semua dan rapi kemas.
Ayahku
mendapat bisnis memotong rumput daripada seorang jiran. Hasil kerja baik
adik dan aku menyebabkan aku mendapat bisnes-bisnes yang lain daripada
jiran-jiran aku.
Inilah pengajaran yang ayahku ajar padaku yang
sudah sebati di hatiku. Buatlah kerja secara professional. Jika kita
telah berjanji untuk melaksanakan sesuatu kerja pada masa tertentu,
kotakan kata-kata tersebut. Bagilah pelanggan kita menikmati servis yang
kita harapkan daripada orang lain. Kerja kita menunjukkan keikhlasan,
akhlak dan sikap kebertanggungjawaban di hati kita.
Kini ayahku sudah tiada namun ajarannya masih segar di mindaku.
Wahai anakku,
Aku tahu kadang-kala aku merungut panjang, tapi semuanya kerana aku
bimbang kamu akan tersilap langkah sehingga membazirkan masa engkau yang
sedikit ini di dunia ini. Mungkin rungutan aku engkau tidak menyukai
mahupun susah memahaminya sekarang, tapi diharap dengan nukilan di atas
ini engkau boleh memahami isi hati aku yang terkadang bertegas dengan
kamu.
Dato' Tuan Ibrahim bin Tuan Man (Official)
No comments:
Post a Comment