Followers

Tuesday 4 December 2012

Beri nasihat


Benarlah nasihat seorang itu adalah tanda cinta kepada sahabatnya. Perkongsian daripada Ustaz Umar Muhammad Noor.

Ibn Abi Zi'b sangat pandai menundukkan nafsu sehingga emosinya menuruti perintah akalnya. Mengapa? Ini kerana para solihin tidak pernah berasa cukup dengan nasihat. Semakin banyak nasihat yang mereka dengar, semakin gembira hati mereka. Malah, bagi mereka nasihat merupakan tanda cinta yang dipersembahkan seorang saudara kepada saudaranya.

Terdapat seorang pelajar yang berasal dari Andalusia bernama al-Ghazi bin Qais, beliau datang ke Madinah untuk menimba ilmu daripada para ulama di kota ini. Sebelum ini, beliau sering mendengar kehebatan ulama Madinah, namun belum pernah berjumpa dengan mereka.

Pada suatu hari ketika sedang duduk di Masjid Nabawi di Madinah, al-Ghazi melihat seorang lelaki masuk ke dalam masjid. Lelaki itu terus duduk tanpa menunaikan solat sunat tahiyatul masjid terlebih dahulu.


Al-Ghazi segera menegur lelaki tersebut : "Wahai lelaki, bangkit dan solatlah dua rakaat. Duduk di dalam masjid tanpa melakukan solat tahiyatul masjid adalah petanda bahawa engkau orang yang jahil dengan hukum agama."

Nasihat ini dilihat cukup kasar. Namun begitu, orang yang dinasihati itu tidak berkata apa-apa. Beliau hanya bangkit lalu melakukan solat seperti yang disuruh. Selesai solat, beliau duduk bersandar di sebuah tiang masjid.

Tidak lama kemudian, al-Ghazi melihat para pelajar mula memasuki masjid. Anehnya, seorang demi seorang duduk mengelilingi lelaki yang ditegurnya tadi sehingga terbentuk satu kumpula yang cukup besar.

Al-Ghazi tertanya-tanya, siapakah lelaki ini sebenarnya? Lalu, beliau mendekati seorang murid dan bertanya kepadanya : "Siapakah orang ini?"

Murid tersebut menjawab: "Dia Ibn Abi Zi'b. Beliau seorang imam pakar fiqah dan tokoh ulama yang dihormati di Madinah."

Al-Ghazi bagai disambar petir. Beliau berasa sangat malu kerana baru sahaja mencela seorang ulama besar Madinah. Lantas, beliau segera mendatangani Ibn Abi Zi'b dan meminta maaf kepadanya.

Namun, apa respon ulama besar ini? Beliau hanya berkata: "Wahai saudaraku, engkau tidak salah. Engkau hanya menyuruhku melakukan kebaikan, lalu aku mematuhi perintahmu."

(Al-Hafiz Ibn 'Abd al-Bar, al-Tamhid Sharh al-Muwatta')

No comments:

Post a Comment