Perkara yang meragukan berkaitan nisfu sya'ban
Penjelasan status hadith: Apabila tiba setengah Sya‘ban (15 Sya‘ban), maka janganlah berpuasa
# Matan Hadith:
إذا انتصف شعبان فلا تصوموا
Apabila tiba setengah Sya‘ban (15 Sya‘ban), maka janganlah berpuasa (sehingga Ramadhan)
# Takhrij:
Dikeluarkan oleh Ahmad (no. 9705), Al-Tirmizi (no. 738), Ibn Majah (no. 1651), Al-Baihaqi dalam Al-Kubra (no. 7751), Abu Daud (hadith no. 2337), Al-Nasa’i dalam Al-Kubra (no. 2911) dan lain-lain dengan lafaz yang sedikit berbeza[1], daripada Al-A‘la daripada Ayahnya daripada Abu Hurairah
# Status:
Tidak Sahih, bahkan Munkar.
Hadith ini diingkari oleh jumhur huffaz hadith salaf seperti ‘AbdulRahman Ibn Mahdi, Abu Zur‘ah Al-Razi, Ahmad bin Hanbal, Al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, Al-Baihaqi, Yahya Ibn Ma‘in, Abu Bakr Al-Athram, Ibn Adi, Al-Nasa’i dan lain-lain[2]
Imam Ahmad menyatakan hadith ini sebagai ‘Munkar’ dan ‘tidak terpelihara’, Imam ‘AbdulRahman Ibn Mahdi tidak pernah menyebutkannya (meriwayatkannya) dan malah dia cuba mengelak diri daripada meriwayatkan hadith ini.
Imam Muslim pula meninggalkan hadith ini dan menolak untuk memasukkan dalam Sahihnya, malah ia juga tidak dimasukkan Imam Al-Bukhari dalam Sahihnya.
Mereka menolak hadith ini kerana masalah padanya, iaitu tafarrudnya (bersendiriannya) seorang rawi iaitu Al-A‘la yang meriwayatkan daripada Ayahnya (tafarrud Al-A‘la daripada Ayahnya) dan juga sebagaimana yang dikatakan Imam Ahmad ia bertentangan dengan hadith lain yang sahih menyatakan baginda Nabi SAW biasa menyambung terus puasa Baginda SAW daripada Sya‘ban ke Ramadhan.
Dalam Tahzib Al-Tahzib, Ibn Hajar menukilkan kata-kata Imam Abu Daud tentang Al-A‘la, kata Abu Daud:
وقال أبو داود:... أنكروا على العلاء صيام شعبان يعنى: حديث إذا انتصف شعبان فلا تصوموا
“….Mengingkari kami hadith puasa Sya‘ban daripada Al-A‘la iaitu hadith “Apabila tiba setengah Sya‘ban, maka janganlah berpuasa”[3]
Juga disebutkan oleh Imam Al-Baihaqi dalam Sunannya setelah meriwayatkan hadith ini:
قال أبو داود وقال أحمد بن حنبل هذا حديث منكر قال وكان عبد الرحمن لا يحدث به
"Berkata Abu Daud, berkata Ahmad bin Hanbal: hadith ini Munkar... AbdulRahman (Ibn Mahdi) tidak pernah sama sekali menyebutkannya/ meriwayatkannya…"[4]
Dan berkata Imam Abu Daud dalam Sunannya setelah meriwayatkan hadith ini:
قال أبو داود وكان عبد الرحمن لا يحدث به قلت لأحمد لم ؟ قال لأنه كان عنده أن النبي صلى الله عليه وسلم كان يصل شعبان برمضان
“AbdulRahman Ibn Mahdi tidak menyebutkannya/tidak meriwayatkannya”, aku bertanya kepada Ahmad: kenapa? Ahmad berkata (menjawab): Kerana sesungguhnya Baginda SAW biasa menyambung terus puasa Sya‘ban dengan puasa Ramadhan...”[5]
Begitu juga dalam kitab Nasbu Rayah menyebutkan ketika membincangkan hadith ini:
وَقَالَ النَّسَائِيّ: لَا نَعْلَمُ أَحَدًا رَوَى هَذَا الْحَدِيثَ غَيْرَ الْعَلَاءِ، وَرُوِيَ عَنْ الْإِمَامِ أَحْمَدَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّهُ قَالَ: هَذَا الْحَدِيثُ لَيْسَ بِمَحْفُوظٍ، قَالَ: وَسَأَلْت عَنْهُ ابْنَ مَهْدِيٍّ فَلَمْ يُصَحِّحْهُ: وَلَمْ يُحَدِّثْنِي بِهِ، وَكَانَ يَتَوَقَّاهُ، قَالَ أَحْمَدُ: وَالْعَلَاءُ ثِقَةٌ، لَا يُنْكَرُ مِنْ حَدِيثِهِ إلَّا هَذَا
Berkata Imam Al-Nasa’i: "Tidak diketahui satupun yang meriwayatkan hadith ini kecuali Al-A‘la seorang sahaja, dan diriwayatkan daripada Imam Ahmad, sesungguhnya dia berkata (kata Ahmad): “Hadith ini tidak terpelihara”, aku bertanya hadith ini kepada ‘AbdulRahman (Ibn Mahdi) dan dia tidak pernah sama sekali menyebutkannya (tidak meriwayatkannnya) dan dia cuba untuk sedaya upaya tidak meriwayatkannya..., dan berkata Ahmad lagi: Al-A‘la seorang yang Thiqah, tidak diingkari (tidak ditolak) hadith-hadithnya kecuali hadith ini…"[6]
Berkata Imam Al-Nawawi dalam kitab Al-Majmu‘:
البيهقى عن أبي داود أنه قال قال أحمد بن حنبل هذا حديث منكر قال وكان عبد الرحمن لا يحدث به يعني عبد الرحمن بن مهدى وذكر النسائي عن أحمد بن حنبل هذا الكلام قال أحمد والعلاء بن عبد الرحمن ثقة لا ينكر من حديثه إلا هذا الحديث قال النسائي ولا نعلم أحدا روى هذا الحديث غير العلاء
“Al-Baihaqi daripada Abu Daud, sesungguhnya berkata Ahmad: hadith ini Munkar, ‘AbdulRahman (Ibn Mahdi) tidak pernah sama sekali menyebutkannya (meriwayatkannya), dan Al-Nasa’i menyebutkan daripada Ahmad bin Hanbal kalam ini, berkata Ahmad: "Al-A‘la bin ‘AbdulRahman Thiqah, tidak diingkari (diterima) hadith-hadithnya kecuali satu hadith ini", dan berkata Al-Nasa’i: "Tidak diketahui satupun yang meriwayatkan hadith ini kecuali Al-A‘la..."[7]
Juga dalam kitab Tadrib Al-Rawi, Imam Al-Suyuti menyebutkan bahawa:
كحديث العلاء عن أبيه عن أبي هريرة في النهي عن الصوم إذا انتصف شعبان تركه مسلم لتفرد العلاء به
“...Seperti hadith Al-A‘la daripada Ayahnya daripada Abu Hurairah dalam bab larangan berpuasa “apabila tiba pertengahan Sya‘ban..", Imam Muslim meninggalkan hadith ini (tidak memasukkan dalam Sahihnya) kerana tafarrudnya Al-A‘la daripada Ayahnya..."[8]
Begitu juga disebutkan dalam kitab Al-Maudhu‘at, bahawa Imam Muslim menolak hadith ini:
مثل حديث العلاء بن عبدالرحمن عن أبيه عن أبى هريرة أن النبي صلى الله عليه وسلم قال: " إذا انتصف شعبان فلا تصوموا حتى يجئ رمضان " وقد خرج مسلم كثيرا من حديث العلاء في الصحيح وترك هذا وأشباهه مما انفرد به العلاء عن أبيه
"…Contohnya hadith Al-A‘la bin ‘AbdulRahman daripada Ayahnya daripada Abu Hurairah, sesungguhnya Nabi SAW bersabda: "-matan hadith ini-", dan sesungguhnya Imam Muslim mengambil (memasukkan) banyak hadith-hadith yang diriwayatkan oleh Al-A‘la dalam Sahihnya, tetapi meninggalkan hadith ini dan yang lain seumpamanya kerana tafarrudnya Al-A‘la daripada Ayahnya..."[9]
Imam Ibn Adi: menyatakan hadith ini Gharib[10], Imam Yahya Ibn Main: menyatakan hadith ini Munkar[11], imam Abu Bakr Al-Athram (iaitu murid imam Ahmad): juga menyatakan hadith ini Munkar, juga kata Al-Athram lagi semua hadih-hadith (lain) yang ada adalah bertentangan dengan hadith ini[12]
# Fiqh al-Hadith:
Dalam bab ini terdapat beberapa pendapat berkenaan hukum berpuasa selepas 15 Sya‘ban, antaranya:
1- Haram:
Mazhab Al-Zahiri mengharamkan berpuasa selepas 15 Sya‘ban. Dalil mereka adalah hadith yang kita bincangkan di atas iaitu "Apabila tiba setengah Sya‘ban (15 Sya‘ban), maka janganlah berpuasa", dan dinukilkan oleh Dr. ‘Abdul Karim Zaidan dalam kitabnya Al-Mufassal Fi Ahkam Al-Mar'ah, bahawa disebutkan Ibn Hazm dalam Al-Muhalla maksud haram itu bukanlah bererti haram berpuasa setiap hari selepas 15 Sya‘ban secara keseluruhan, akan tetapi hanya pada 16 Sya‘ban.
Kata Ibn Hazm dalam Al-Muhalla: "Larangan untuk berpuasa hanyalah untuk tanggal 16 sahaja. Itulah hari seseorang tidak boleh berpuasa"[13]. Ini kerana adanya hadith riwayat Al-Bukhari dan Muslim, berbunyi: “Janganlah salah seorang kamu mendahului Ramadhan dengan berpuasa sehari atau dua hari. Kecuali seseorang yang berpuasa dengan satu puasa (adat kebiasaannya) maka berpuasalah pada hari itu"[14]. Hal yang sama juga disebutkan oleh Syaikh Al-Muhaddith Dr. Mahir Yasin Al-Fahl[15].
2- Makruh:
Sebahagian fuqaha' menyatakan bahawa Makruh berpuasa selepas 15 Syaban jika seseorang itu tiada kelaziman berpuasa secara adat [kerap] pada bulan Sya‘ban. Antara yang mendokong pendapat ini adalah jumhur Mazhab Al-Syafi‘i. Dalil mereka adalah hadith yang kita bincangkan di atas iaitu hadith "Apabila tiba setengah Sya‘ban (15 Sya‘ban), maka janganlah berpuasa", dan digabungkan dengan hadith riwayat Al-Bukhari dan Muslim, berbunyi: “Janganlah salah seorang kamu mendahului Ramadhan dengan berpuasa sehari atau dua hari. Kecuali seseorang yang berpuasa dengan satu puasa (adat kebiasaannya) maka berpuasalah pada hari itu" [16] [17]
3- Dibolehkan dan tidak makruh:
Mazhab jumhur fuqaha' lainnya membolehkan berpuasa dan tidak makruh berpuasa selepas 15 Sya‘ban, kerana hadith yang melarangnya adalah Dha‘if, iaitu hadith yang kita bincangkan di atas.
Kesimpulannya, pendapat yang kuat adalah pendapat yang ketiga. Iaitu boleh berpuasa selapas nisfu Sya‘ban, sebagaimana kata Imam Al-Syaukani ketika membincangkan masalah ini dalam Nail Al-Autar: “Jumhur ‘ulama’ membolehkan dan tidak melarang puasa selepas nisfu Sya‘ban (selepas 15 Sya‘ban) kerana hadith yang melarangnya adalah Dha‘if"[18].
Kata Syaikh Al-Muhaddith Dr. Mahir Yasin Al-Fahl dalam masalah ini: "Mazhab jumhur inilah yang paling kuat, tiadanya makruh serta dibolehkan berpuasa pada bahagian kedua Syaban [selepas 15 Sya‘ban] kerana Dha‘ifnya hadith Al-A‘la…"[19]
Akan tetapi perlu diingat bahawa jika seseorang itu mendahului sehari atau dua hari sebelum Ramadhan dengan berpuasa sedangkan ia bukanlah puasanya yang biasa dia lazimi kebiasaannya, iaitu dia hanya berpuasa pada sehari atau dua hari sebelum Ramadhan misalnya dengan niat khusus untuk menyambut Ramadhan dan seumpamanya, perbuatan ini adalah terlarang.
Dalilnya larangannya adalah hadith riwayat Al-Bukhari dan Muslim, berbunyi: “Janganlah salah seorang kamu mendahului Ramadhan dengan berpuasa sehari atau dua hari. Kecuali seseorang yang berpuasa dengan satu puasa (adat kebiasaannya) maka berpuasalah pada hari itu"[20].
Antara hikmah larangan ini disebut oleh Dr. ‘Abdul Karim Zaidan iaitu adalah "agar tidak tercampur antara puasa sunnah dan puasa fardhu, iaitu puasa Ramadhan. Larangan ini sebetulnya tidak berlaku bagi mereka yang kebiasaanya berpuasa sunnah bertepatan dengan hari tersebut.
Ada juga yang mengatakan hikmah larangan untuk melakukan puasa pada sehari atau dua hari sebelum Ramadhan adalah kerana puasa Ramadhan kewajipannya bergantung pada ru'yah Hilal, barangsiapa yang sengaja dan bukan puasa adat mendahului bulan Ramadhan dengan sehari atau dua hari puasa seolah-olah dia berusaha memutuskan hukum tersebut, iaitu hukum kewajipan berpuasa Ramadhan mengikut ru'yah Hilal, demikian penakwilan para fuqaha' mengenai hikmah larangan ini sebagaimana yang disebutkan dalam kitab Tuhfah Al-Ahwazi bi Syarah Jami‘ Al-Tirmizi[21].
----------------------- Nota Kaki :
[1] lafaz yang disebutkan di atas adalah lafaz Abu Daud
[2] Walaupun Imam Al-Tirmizi mensahihkan hadith ini dalam Sunannya, kata Al-Tirmizi “Hasan Sahih”, akan tetapi para huffaz yang lebih hebat dan lebih berilmu daripada Al-Tirmizi mengingkari hadith ini, maka penilaian Al-Tirmizi adalah lemah dan beliau tersilap, qaul dan penilaian jumhur dan majoriti huffaz Salaf diutamakan dan diunggulkan. Hal ini adalah seperti yang dijelaskan oleh Ibn Rajab Al-Hanbali dalam Lato’if Al-Ma‘arif ketika menjelaskan status hadith ini, kata Ibn Rajab:
حديث العلاء بن عبد الرحمن عن أبيه عن أبي هريرة عن النبي صلى الله عليه وسلم قال: إذا انتصف شعبان فلا تصوموا (حتى رمضان) وصححه الترمذي وغيره واختلف العلماء في صحة هذا الحديث ثم في العمل به: فأما تصحيحه فصححه غير واحد منهم الترمذي وابن حبان والحاكم والطحاوي وابن عبد البر وتكلم فيه من هو أكبر من هؤلاء وأعلم وقالوا هو حديث منكر منهم عبد الرحمن بن المهدي والإمام أحمد وأبو زرعة الرازي
“Hadith Al-A‘la bin ‘AbdulRahman daripada Ayahnya daripada Abu Hurairah daripada Nabi S.A.W, sabdanya: “Apabila tiba setengah Sya‘ban (15 Sya‘ban), maka janganlah berpuasa (sehingga Ramadhan)", hadith ini disahihkan Al-Tirmizi dan lain-lain, dan berlaku perselisihan dalam kalangan ‘ulama’ akan kesahihan hadith ini…yang mensahihkannya antaranya: Al-Tirmizi, Ibn Hibban, Al-Hakim, Al-Tahawi, dan Ibn ‘Abdi l-Bar, dan menyebutkan daripada kalangan mereka yang lebih hebat dan lebih berilmu daripada mereka: hadith ini Munkar, antaranya ialah ‘AbdulRahman Ibn Mahdi, Imam Ahmad, dan Abu Zur‘ah Al-Razi…." (rujuk Lato’if Al-Ma`arif, juz 1, hal. 151)
[3] rujuk Tahzib Al-Tahzib, rijal: Al-A‘la bin ‘AbdulRahman bin Ya'kub Al-Harqi
[4] rujuk Sunan Al-Baihaqi Al-Kubra, komentarnya terhadap hadith ini
[5] rujuk Sunan Abi Daud, komentarnya pada hadith no. 1651
[6] rujuk Nasbu Rayah, takhrij Hadith Al-Hidayah, juz 4, hal. 384
[7] rujuk Al-Majmu‘ Syarah Muhazzab, Imam Al-Nawawi, juz 6, hal. 399
[8] rujuk Tadrib Al-Rawi, juz 1, hal. 141
[9] rujuk Al-Maudhu‘at, juz 1, hal. 33
[10] dalam Al-Kamil fi Dhua‘fa’
[11] sebagaimana disebutkan oleh Ibn hajar dalam Fathu l-Bari
[12] disebut oleh Ibn Rajab dalam Lato’if Al-Ma‘arif
[13] rujuk Al-Muhalla Ibn Hazm, juz 7, hal 25-26, dinukil daripada Al-Mufassal Dr. ‘Abdul Karim Zaidan
[14] Al-Bukhari (no. 1914) & Muslim (no. 2514)
[15] rujuk Al-Mufassal Fi Ahkam Al-Mar’ah, Dr. ‘Abdul Karim Zaidan, bab larangan berpuasa selepas nisfu Sya‘ban dan Athar ‘Ilal Al-Hadith Fi Ikhtilaf Al-Fuqaha', Dr. Mahir Yasin Al-Fahl, subtopik: hukum berpuasa selepas nisfu Sya‘ban sehingga Ramadhan
[16] Lihat nota kaki no. 14
[17] Rujuk kitab Al-Maudhu‘at dan penjelasan Al-Tirzmizi dalam Sunannya selepas meriwayatkan hadith yang kita dibincangkan di atas, serta Athar ‘Ilal Al-Hadith, Dr. Mahir Yasin Al-Fahl
[18] rujuk Nailu l-Autar, Al-Syaukani
[19] rujuk Athar ‘Ilal Al-Hadith Fi Ikhtilaf Al-Fuqaha’, Dr. Mahir Yasin Al-Fahl
[20] Lihat nota kaki no. 14
[21] rujuk Al-Mufassal, Dr. ‘Abdul Karim Zaidan, bab mendahului Ramadhan dengan sehari atau dua hari puasa
No comments:
Post a Comment