Followers

Friday, 3 June 2011

BANGKITLAH AL-AQSA AS SYARIF........

Mohamad Fadzlanshah
Assalamualaikum ikhwah dan akhawat sekalian,

Sejak Al-Quds dijajah pada tahun 1967, bangsa Zionis telah berusaha dengan segala kemampuanya untuk mencelup kota Al-Quds dengan celupan Yahudi dan cuba menghapuskan semua bukti-bukti kebudayaan Islam di kota tersebut.

Sementara itu, penggalian di bawah Masjid Al-Aqsha dan sekitarnya terus me...reka lakukan. Penggalian ini akan merobohkan sejumlah bangunan bersejarah di Al-Quds. Untuk mempercepatkan tujuannya, Israel menggunakan bahan kimia bagi menghancurkan tiang-tiang yang berada di bawah Al-Aqsha.


Pemerintah Israel terus melakukan pembaharuan dalam projek meyahudikan Al-Quds terutama di wilayah timurnya seperti :

1. Membangun tempat parkir kereta setinggi 7 tingkat yang dapat menampung ribuan kenderaan.

2. Memasang portal di pintu Al-Asbath menuju Kota Lama bagi menghalang warga Palestin masuk ke kawasan tersebut.

3. Membangun jambatan layang-layang dari Jabal Zaitun melalui gerbang Al-Rahmah tembus hingga ke Barat Al-Quds di Silwan.

4. Membangun terowong kereta dari pintu Hebron menuju tembok ratapan di dinding Al-Buraq.

Kesemua pembangunan ini jelas mengancam sejumlah wilayah bersejarah di Kota Lama Al Quds.

Di sisi lain, serbuan bertubi-tubi terhadap Masjid Al-Aqsha hasil kerjasama antara pemerintah Israel dan kelompok radikal Zionis tidak lagi dilakukan dengan sembunyi-sembunyi tapi secara terang-terangan dan diketahui oleh masyarakat ramai.

Penggalian yang mereka lakukan secara “marathon” dan bukan lagi tersembunyi  bahkan terang-terangan itu belum juga menemui kesan-kesan Haikal yang mereka dakwa berada di dalamnya. Walaupun sudah terbongkar, tidak ada bukti-bukti yang sahih berupa “Bekas Kerajaan Daud” yang mereka dakwa sebagai Haikal Sulaiman yang dikatakan berada di atas tapak Masjid Al-Aqsha, namun pemerintah Israel tidak pernah berhenti melakukan penggalian tersebut.

Ini tiada tujuan lain melainkan mereka ingin sekali menghancurkan bangunan-bangunan bersejarah milik umat Islam termasuk di dalamnya kiblat pertama umat Islam iaitu Masjid Al-Aqsha.

Persoalannya sekarang, apakah Allah akan memberikan kesempatan bagi Zionis untuk menghancurkan Al-Aqsha???

Sebahagian orang mungkin berkata, tidak mungkin Al-Aqsha dapat dihancurkan oleh Israel kerana Al-Aqsha merupakan kiblat pertama umat Islam. Dengan kedudukan yang tinggi dalam agama, tidak mungkin Zionis dapat menghancurkanya sebagaimana Abrahah dahulu tidak dapat menghancurkan Ka’bah.

Nabi Muhammad saw pun pernah berbicara tentang fitnah yang akan berlaku di akhir zaman dan tidak disebutkan tentang kehancuran Al-Aqsha.

Inilah yang sering kita dengar dari sebahagian besar kaum muslimin. Dalam setiap kesempatan mereka mengatakan, bagi Al-Aqsha ada pemeliharanya iaitu Allah swt.

Betul, memang tidak ada khabar atau hadits yang menyatakan kehancuran Al-Aqsha tetapi itu tidak bererti ia tidak akan berlaku. Tidak semestinya semua yang tidak ada nashnya tidak akan berlaku. Banyak sekali peristiwa yang berlaku, tetapi tidak ada nash yang menjelaskanya, walaupun hanya sekadar hadits dhaif.

Ka’bah dahulu pernah dihancurkan pada zaman Hajjaj bin Yusuf Al-Tsaqafi. Ia menggempurnya dengan lastik raksasa untuk menghancurkan Abdullah bin Zubair ra. Begitu juga dengan kaum Qaramithah yang mencuri Hajarul Aswad pada tahun 293 H. Selama 22 tahun, Hajarul Aswad berada dalam kekuasaan Qaramithah.

Bukan itu sahaja, disebutkan dalam Shahih Bukhari, Rasulullah saw mengatakan ;

“Ka’bah akan dirosakkan oleh kelompok Dzu Suwaiqatan dari Habsyah, ia akan dirampas perhiasannya serta dicabut kelambunya. Akan tetapi aku hanya melihatnya membiarkannya ia terlepas dipukul dengan penyodok dan cangkulnya”.

Dari sini jelaslah, Ka’bah atau Baitullah Al-Haram akan dihancurkan dan yang menghancurkanya adalah seseorang dari keturunan Habsyah (Ethiopia).

Jika Baitullah pun akan hancur, maka bagaimana dengan Masjid Al-Aqhsa yang darjat dan kedudukannya lebih bawah dari Masjid Al-Haram???

Dr Abdul Aziz Kamil mengatakan :

“Tidak ada nash yang dapat dijadikan pegangan yang menunjukkan bahwa penghancuran Masjid Al-Aqsha adalah sesuatu yang mustahil dan perkara tersebut bukan salah satu syarat dari peristiwa fitnah akhir zaman. Lebih dari itu, banyak peristiwa yang berlaku tanpa disebutkan dalam ayat mahupun hadits. Sebahagiannya telah dikhabarkan dan sebahagiannya terhapus dari ingatan”.
Tinggal satu lagi pertanyaan iaitu kenapa Baitullah Al-Haram dilindungi oleh Allah ketika pasukan Abrahah mahu menghancurkanya tetapi Allah tidak melindunginya ketika dihancurkan oleh Hajjaj bin Yusuf atau ketika dicuri batunya oleh golongan Qaramithah atau tidak akan dilindungi ketika nanti
dihancurkan oleh orang Habsyah?

Jawabannya mungkin, ketika raja Abrahah datang hendak menghancurkan Ka’bah, di sana tidak ada orang yang dibebani secara syar’i untuk melindunginya.

Bangsa Arab dahulu mengagungkan Ka’bah kerana bangunan tersebut dibangun oleh datuk mereka Ibrahim dan Ismail alaihimassalam. Namun, setelah datangnya Islam, ada yang dibebani secara agama untuk melindungi dan mempertahankan Baitullah Al-Haram untuk menumpahkan segala kemampuanya bagi melindunginya, iaitu umat Islam.
Di sanalah akan terlihat siapa yang bersusah payah dalam melindunginya dan siapa yang melalaikannya.

Kesimpulannya, jika umat Islam tidak membelanya maka tidak menghairankan apabila suatu hari apabila kita bangun dari tidur sementara bangsa Yahudi sudah menghancurkan Masjid Al-Aqsa.

Inilah yang ditulis oleh As-Syahid Abdul Aziz Al-Rantisi dalam sebuah makalahnya yang ia tulis setelah gugurnya As-Syahid Syaikh Ahmad Yasin.

Ia mengatakan ;

“Saya mengira bahwa Allah akan memberi kesempatan bagi Zionis untuk menghancurkan Masjid Al-Aqsha sebagaimana mereka dibiarkan membunuh As-Syahid Ahmad Yasin”.
Sebenarnya, masalah Al-Aqsha sama dengan Masjid Al-Haram dari segi kemungkinan penghancurannya.

Mungkin Yahudi dapat menghancurkan al-Aqsha. Kenapa tidak?

Mereka telah membakarnya pada tahun 1969 sementara Al-Aqsha sekarang berdiri di atas sejumlah terowong hasil dari aktiviti penggalian di mana ketika ini Al-Aqsha tidak mempunyai asas untuk menguatkan bangunannya ke dalam tanah.

Namun ada yang berhujjah dengan hadits Nabi saw yang mengatakan :

“Aku peringatkan kamu dengan fitnah Dajjal. Tidak ada seorang Nabipun, kecuali telah memberikan peringatan kepada umatnya (tentang Dajjal). Ia adalah keturunan Nabi Adam yang mata kirinya buta (tidak dapat melihat), pohon-pohon tidak tumbuh. Ia menguasai satu jiwa kemudian membunuhnya lalu menghidupkanya kembali. Ia pun tidak menguasai yang lainya. Bersamanya ada syurga, neraka, sungai, air, gunung dan roti. Sesungguhnya syurganya adalah neraka. Dan nerakanya adalah syurga. Ia akan hidup bersama kamu selama 40 malam. Ia dapat berpindah dan mengunjungi semua tempat kecuali empat masjid, Masjid Al-Haram, Masjid Madinah, Masjid Tursina dan Masjid Al-Aqsha. Potongan tubuhnya seperti kamu dan sesungguhnya Allah tidak buta”.


Inilah hadits yang dijadikan alasan namun mungkin juga boleh berlaku selain dari itu di mana mungkin sahaja Al-Aqsha dihancurkan lalu dibangunkan kembali atau yang dimaksudkan dengan masjid di sini adalah tempat di mana dibangunnya Masjid Al-Aqsha.

Rasulullah saw pun pernah solat mengimami para Nabi di Masjid Al-Aqsha pada malam Isra’ dan Mi’raj padahal di sana belum ada bangunan Masjid Al-Aqsha ketika itu.

Bangunan Masjid Al-Aqsha hanya dibangunkan pada pemerintahan Amirul Muminin, Umar Ibnu Al-Khattab ra.

Walaubagaimana tingginya kedudukan Al-Aqsha, namun tentu tidak melebihi kedudukannya dari Masjid Al-Haram dan Masjid Al-Haram tidak lebih tinggi kedudukannya dari kehormatan darah seorang muslim.
Rasulullah saw pernah bersabda dalam khutbah haji wada’ :

“Ketahuilah, semulia-mulia hari adalah hari ini, semulia-mulia bulan adalah bulan ini, semulia-mulia negeri adalah negeri ini. Ketahuilah, sesungguhnya darah kamu, harta kamu terhormat, sebagaimana terhormatnya hari ini, bulan ini dan negeri ini”.
Dan dalam riwayat yang lain dari Abdullah bin Umar ia berkata, aku melihat Rasulullah saw thawaf mengelilingi Ka’bah dan berkata :

“Sebaik-baik wangian adalah wangimu, seagung-agung kehormatan adalah kehormatanmu. Demi jiwa Muhammad yang ada dalam genggamanNya, kehormatan seorang mu’min lebih agung daripada kehormatanmu di sisi Allah. Lebih terhormat darimu darahnya dan hartanya dan berbaik sangkalah kepadanya”.
Jika kehormatan darah seorang muslim lebih tinggi daripada kehormatan Baitullah Al-Haram, maka tidak ragu lagi, darah seorang muslim lebih terhormat di sisi Allah berbanding Masjid Al-Aqsha, walaubagaimana tinggi pun sekalipun kedudukan Masjid Al-Aqsha di sisi umat Islam.
Kaum muslimin ketika ini, di manapun mereka, berada dalam kongkongan kesombongan dunia dan kezaliman antarabangsa. Bangsa Palestin berkubang dalam penjajahan Zionis yang zalim. Mereka dibunuh setiap hari, tanpa perikemanusiaan. Tidak dibezakan antara anak kecil, orang tua, laki-laki mahupun perempuan. Mereka diperlakukan sama. Kesalahan mereka hanya satu iaitu kerana mereka adalah seorang muslim.

Besarnya kehancuran dan kerosakan serta darah yang mengalir dari para syuhada’, anak-anak, wanita dan warga awam merupakan hasil dari peperangan yang ditebarkan oleh Zionis secara zalim dan keji ke atas Gaza dan Al Aqsha yang mulia menegaskan bahwa Zionis jika menguasai umat Islam dan dunia akan melakukan apa sahaja terhadap umat Islam dan umat manusia sesuai dengan kehendak mereka tanpa:

1. Mempertimbangkan dan menghormati perjanjian yang telah mereka buat.
2. Mempedulikan penderitaan yang dialami oleh umat Islam.
3. Merasa bersalah terhadap perbuatan yang telah mereka lakukan.
4. Mempedulikan pelanggaran hak ke atas warga yang tidak berdosa.

Bahkan kerana kerasnya hati mereka dan didorong oleh kebencian dan kemurkaan, dengan berleluasa mereka melakukan pelanggaran lebih besar jika mereka mampu melakukannya, sebagaimana yang firman Allah swt :

“Jika mereka menangkap kamu, niscaya mereka bertindak sebagai musuh bagimu dan melepaskan tangan dan lidah mereka kepadamu dengan menyakiti(mu) ; dan mereka ingin supaya kamu (kembali) kafir”. (QS Al-Mumtahanah : 2)

Mereka tidak akan pernah terlambat melakukan pembantaian terhadap umat Islam tanpa ada belas kasihan sedikitpun kecuali jika mereka dalam keadaan lemah. Dan perkara ini bukanlah suatu kecelakaan atau sesuatu yang sifatnya sementara, namun ianya bersifat kekal dan sepanjang masa kerana permusuhan mereka terhadap kebenaran dan pembawa kebenaran dalam sepanjang waktu dan masa dari sejarah umat manusia adalah kekal tanpa terkecuali!
Allah swt berfirman :

“Bagaimana boleh (ada Perjanjian dari sisi Allah dan Rasul-Nya dengan orang-orang musyrikin), Padahal jika mereka memperolehi kemenangan terhadap kamu, mereka tidak memelihara hubungan kekerabatan terhadap kamu dan tidak (pula mengindahkan) perjanjian. Mereka menyenangkan hatimu dengan mulutnya, sedang hatinya menolak. Dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang Fasik (tidak menepati perjanjian). Mereka menukarkan ayat-ayat Allah dengan harga yang sedikit, lalu mereka menghalangi (manusia) dari jalan Allah. Sesungguhnya Amat buruklah apa yang mereka kerjakan itu. Mereka tidak memelihara (hubungan) kerabat terhadap orang-orang mu’min dan tidak (pula mengindahkan) perjanjian. dan mereka Itulah orang-orang yang melampaui batas”. (QS At-Taubah : 8-10)

Oleh kerana itu, mereka adalah kaum yang sentiasa :

a. Melakukan kezaliman.
b. Melakukan pembangkangan dan pelanggaran.
c. Tidak pernah menghargai nilai-nilai kesucian dan tempat-tempat yang disucikan.
d. Tidak pernah menghargai harga diri dan kehormatan manusia.
e. Menginjak-injak segala sesuatu yang diagungkan dan dihormati oleh manusia seperti etika dan akhlak, agama dan keyakinan.

Allah swt berfirman :

“Sesungguhnya kamu dapati orang-orang yang paling keras permusuhannya terhadap orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrik”. (QS Al-Maidah : 82)

Lihatlah pasukan angkuh AS telah menghancur leburkan Irak padahal dulunya ia sebagai pusat kebudayaan dan kekhalifahan Islam. Bahkan kita melihat, bagaimana tentera AS melakukan sesuatu di atas semua bentuk kejahatan terhadap saudara kita.
Di antara mereka ada yang :

a. Dibunuh.
b. Dipenjara.
c. Dicabul kehormatannya.

Bukankah ini lebih besar di sisi Allah berbanding Masjid Al-Aqsha???


Apakah ia belum cukup untuk membangkitkan umat Islam???
KEWAJIBAN UMAT ISLAM

Sesungguhnya kewajiban kita sebagai umat Islam terhadap Palestin dan peranan kita dalam membela sangatlah penting.

KEWAJIBAN PERTAMA
a. Meluruskan niat kita.
b. Memperbarui iman kita.
c. Mengikatkan diri kita kepada Allah.
d. Meminta pertolongan kepadaNya.
e. Bertawakal kepadaNya di setiap amal dan jihad serta pengorbanan kita.
f. Meyakini bahwa jihad adalah puncak dari tingkatan Islam dan di sanalah harga diri dan kemuliaan kita.

KEWAJIBAN KEDUA

a. Setiap keluarga muslim mesti menanamkan dalam hatinya dan hati anak-anaknya bahwa masalah utamanya, cita-citanya yang terbesar dan yang paling menyibukkannya adalah membebaskan Palestin.

b. Mereka mesti dididik sejak dalam kandungan lagi untuk cinta kepada Allah, RasulNya serta cinta jihad di jalan Allah.
c. Mengajarkan kepada mereka bahwa cinta kepada Palestin dan masjid Al-Aqsha adalah sebahagian dari iman.

d. Mereka mesti diajarkan bahwa tidak ada persamaan antara jihad dan terorisma di mana jihad adalah pengorbanan untuk mengembalikan hak yang dirampas, membela kehormatan dan mengusir penjajah sehingga kalimah Allah menjadi yang tertinggi.

e. Mereka mesti diajarkan bahwa terorisma adalah penjajahan terhadap negeri orang lain, merampas secara paksa kekayaan alam negeri lain, mengusir warganya yang aman, mengalirkan darah orang-orang yang tidak bersalah, wanita dan anak-anak dari negeri mereka.

KEWAJIBAN KETIGA
a. Wajib membantu dan mendukung bangsa yang terkepung dengan segala kemampuan bagi setiap muslim. Dulu Ikhwanul Muslimin di Mesir menyebutnya sebagai tindakan “1 Qirsy (jenis mata wang Mesir dulu) untuk Palestin” manakala hari ini, setiap muslim mesti menyediakan sebahagian hartanya untuk membantu saudara mereka di Palestin yang terkepung dengan nama “1 Junaih (mata wang Mesir sekarang) untuk Palestin” atau juga 1 Ringgit, 1 Dollar bagi setiap matawang masing-masing setiap bulan secara minima atau lebih.

b. Mesti melatih anak-anak untuk menabung wang sakunya untuk mendukung dan membantu anak-anak yatim Palestin yang terusir.

KEWAJIBAN KEEMPAT
Barangsiapa yang tidak mampu berjihad dengan harta maka kewajibannya adalah dengan :

a. Memenuhi hatinya dengan cinta kepada para mujahidin.
b. Cinta melihat keadilan kepada sebuah bangsa.
c. Menolong mereka.
d. Mendorong manusia untuk berinfak demi mereka.
e. Bangun malam dengan berdoa di tengah malam dengan segenap hati yang tulus agar Allah mengangkat penderitaan mereka serta menolong mereka kerana panahan di tengah malam sangat tepat dan tidak akan tersalah bidikan.


“Tiada dosa (lantaran tidak pergi berjihad) atas orang-orang yang lemah, orang-orang yang sakit dan atas orang-orang yang tidak memperolehi apa yang akan mereka nafkahkan, apabila mereka berlaku ikhlas kepada Allah dan RasulNya. Tidak ada jalan sedikitpun untuk menyalahkan orang-orang yang berbuat baik. dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (QS At-Taubah : 91)
KEWAJIBAN KELIMA
Ikut serta dalam demonstrasi massa dan sokongan padu dalam mendukung bangsa Palestin yang terkepung dan mereka yang membela masjid Al-Aqsha dan tempat suci lainnya.

KEWAJIBAN KEENAM

Menghubungi saudara-saudara kita di Palestin dengan telefon atau melalui jaringan informasi untuk mendukung mereka dan memberikan segala sokongan yang diperlukan untuk menghadapi musuh sambil berdoa.

Ya Allah, sesungguhnya Al-Aqsha dulu pernah ditawan oleh tentera salib selama 90 tahun namun bangunan sejarah dan Masjidnya masih tersergam tetapi kini ia mengalami bahaya keruntuhan dan kemusnahan setelah terjajah oleh rejim Zionis Yahudi selama 44 tahun. Datangkanlah hamba-hambaMu yang akan membebaskan Al-Aqsha As-Syarif dan hancurkanlah penguasaan mereka terhadapnya serta kembalikanlah ia ke tangan umat Islam.

Ameen Ya Rabbal Alameen

No comments:

Post a Comment